Monday, March 30, 2009

ALLAH TA'ALA MELAKUKAN APA YG DIKEHENDAKINYA

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Ta'ala Melakukan apa yang Dia Kehendaki (الفعَّالُ لِمَا يُريد). Dan Allah Ta'ala Maha Berkuasa ke atas apa yg Dia Lakukan dengan KehendakNya yang Azali, Abadi dan Tidak Berubah-ubah. Oleh itu, Allah Ta'ala tidak dilemahkan oleh sesuatu akan kehendakNya, tidak dihalang oleh sesuatu pun akan kehendakNya, malah Allah Ta'ala tidak memerlukan serta tidak berhajat kepada sebarang pertolongan selainNya.

Firman Allah Ta'ala:
إِنَّ رَبَّكَ فَعَّالٌ لِمَا يُرِيدُ
Sesungguhnya Tuhanmu Berkuasa Melakukan Apa Yang Dia Kehendaki
[Surah Hud: 107]

Adapun, apabila kita berdo'a, kehendak Allah Ta'ala tidak sesekali akan berubah selepas do'a yg kita pohonkan itu. Do'a itu sebagai usaha bagi kita dan merupakan sebab ke atas kita untuk menerima apa yg Allah Ta'ala taqdirkan ke atas kita. Dan bukanlah sebab ke atas Allah untuk mengubah kehendakNya. Sesungguhnya do'a yg kita pohonkan itu telah pun Allah Ketahui, telah pun Allah Kehendaki kita berdo'a dan Allah juga menghendaki natijah sebab do'a itu sebelum kita berdo'a dengan kehendakNya yg kekal dan tidak sesekali berubah-ubah. Perlu ditegaskan bahawa kehendak yg berubah adalah dalil kepada perkara yang baharu dan ia mustahil bagi Allah Ta'ala (
ولا تتغيّر مشيئته لأنَّ تغيّر المشيئة دليلُ الحدوث، والحدوثُ مستحيلٌ على الله).

Sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Berkuasa, Maha Kehendaki dan Melakukan Apa Yg Dia Kehendaki dan kita sebagai hamba hanyalah mampu berusaha sebagai sebab (
فليسَ للعبدِ إلا الكسبُ) di mana dengan sebab itu natijahnya jatuh ke atas kita dan Allah Ta'ala menghendaki untuk berlaku "sebab" itu ke atas kita dan berlakunya "natijah sebab" itu juga dengan kehendakNya yg Azali, Abadi dan Tidak Berubah sama sekali.

Allah Ta'ala Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Dan tidak ada daya penjagaan untuk berlakunya sebarang kemaksiatan melainkan dengan penjagaan oleh Allah Ta'ala (لا حول عن معصية الله إلا بعصمة الله) dan tidak ada kekuatan untuk melakukan sebarang ketaatan melainkan dengan bantuan Allah Ta'ala (ولا قوّة على طاعة الله إلا بعون الله). Ini adalah penafsiran kepada hadith yg diriwayatkan oleh Abu Ya'la dengan sanad hasan daripada Ibnu Mas'ud, bersabda RasuluLlah (صلى الله عليه وسلم) dengan suatu lafaz yang sangat digalakkan untuk kita senantiasa membaca dan senantiasa mengulanginya iaitu: (لا حول ولا قوّة إلا بالله العليّ العظيم)

Segala apa yg Allah Ta'ala kehendaki, tetap berlaku dan apa yg Allah Ta'ala tidak kehendaki, tetap tidak berlaku sama sekali. Dan lafaz seperti berikut iaitu (ما شاء الله كان وما لم يشأْ لم يكن) adalah daripada hadith Nabi (صلى الله عليه وسلم) diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya.

Firman Allah Ta'ala:
وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا اقْتَتَلُوا وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ
Dan Jika Allah Kehendaki Tentulah Mereka Tidak Berbunuhan, Tetapi Allah Melakukan Apa Yang Dia Kehendaki
[Surah al-Baqarah: 253]

Sama ada perkara itu adalah perkara kebaikan, kejahatan, berbunuhan, ketaatan, kemaksiatan, kekufuran, keimanan segalanya berlaku dengan kehendak Allah Ta'ala. Apa jua yg Allah Ta'ala tidak kehendaki pasti tidak berlaku sama sekali. Allah Ta'ala menghendaki segala apa yg baik dan segala yg buruk tetapi Allah Ta'ala tidak menyuruh kita melakukan keburukan. Dan sesiapa yg menafikan kehendak Allah Ta'ala terhadap segala perkara keburukan maka dia menafikan nas al-Quran dan jatuh kufur. Sesungguhnya golongan muktazilah menafikan Allah Ta'ala berkehendak untuk menciptakan perkara keburukan.

Powered By Blogger