Tuesday, May 16, 2023

MELIHAT ALLAH TA’ALA DI SYURGA

Hendaklah kita menyakini bahawa haqiqat / zat Allah ta`ala dapat dilihat (الرؤية لله تعالى) di Akhirat kelak oleh orang-orang mu`min di dalam Syurga dengan mata kepalanya yang tidak bagaimana, tidak di mana, tidak bertempat dan tidak menyerupai segala sesuatu. Ia adalah suatu nikmat yang paling agung bagi mereka yang tidak dapat dibayangkan oleh manusia di dunia ini.


Firman Allah ta`ala:

وُجُوهٌۭ يَوْمَئِذٍۢ نَّاضِرَةٌ ٢٢

إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌۭ ٢٣

Wajah-wajah mereka pada hari tersebut berseri-seri gembira; Melihat Tuhannya [Surah al-Qiyamah: 22 - 23]


Mafhum daripada sabda RasuluLLah SallaLlahu `alayhi wasallam:

Sesungguhnya kalian akan melihat Tuhanmu pada hari Qiyamah (yang tidak bagaimana, tidak di mana, tidak bertempat, tidak menyerupai segala sesuatu) sebagaimana kamu melihat (dengan mata kepala) terhadap bulan mengambang pada waktu malam, tidak bersesak-sesak kalian pada melihatNya [HR Muslim]


NERAKA

Hendaklah kita menyakini bahawa adanya Neraka. Neraka (النار) adalah sebuah tempat yang telah diciptakan yang disediakan untuk orang-orang kafir. Kepanasan api di dalam neraka adalah lebih kuat dan hebat daripada kepanasan api di dunia ini.


Firman Allah ta`ala:

إِنَّ ٱللَّهَ لَعَنَ ٱلْكَـٰفِرِينَ وَأَعَدَّ لَهُمْ سَعِيرًا ٦٤

خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًۭا ۖ لَّا يَجِدُونَ وَلِيًّۭا وَلَا نَصِيرًۭا ٦٥

Sesungguhnya Allah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan kepada mereka api (neraka) yang menyala-nyala; Mereka kekal di dalamnya (neraka) selama-lamanya, tidak akan mendapatkan pelindungan dan pertolongan

[Surah al-Ahzab: 64 - 65]


SYURGA

Hendaklah kita menyakini bahawa adanya Syurga. Syurga (الجنة) adalah sebuah tempat yang berada di atas langit yang ketujuh yang merupakan sebuah tempat sejahtera yang telah diciptakan. Ia lebih besar daripada neraka dan akan ditempatkan di dalamnya orang-orang yang beriman yang akan bersenang-lenang kekal selama-lamanya.

Firman Allah ta`ala:
۞ وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Dan bersegeralah kamu kepada mendapat keampunan daripada Tuhanmu dan Syurga yang luasnya seluas
langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa [Surah Ali `Imran: 133]

وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ يُدْخِلْهُ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, dimasukkan (oleh Allah ke dalam) Syurga-syurga yang 
mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kemenangan yang paling agung
[Surah al-Nisa: 13]

Mafhum daripada sabda RasuluLlah صلى الله عليه وسلم:
Aku telah memasuki Syurga lalu aku telah melihat kebanyakannya ialah ahli fuqara' [Muttafaqun `alayh]

JAMBATAN SIRAT

Hendaklah kita menyakini bahawa adanya kewujudan Jambatan Sirat. Sirat (الصراط) ialah sebuah jambatan yang direntangkan di atas neraka yang akan dilalui oleh semua manusia. Satu bahagian hujung jambatan tersebut direntangi di al-Ardh al-Mubadalah iaitu Padang Mahsyar dan satu bahagian hujung lain jambatan tersebut direntangi di Syurga iaitu Haudh sebelum memasuk pintu Syurga setelah merentasi bahagian atas neraka. 

Kesemua manusia akan melaluinya (wurud) sama ada wurud murur (melaluinya & melepasinya) atau wurud dukhul (melalui & memasuki neraka). Ketika itu terdapat beberapa kelompok manusia; 

(1) Kelompok yang melaluinya dan tidak menyentuh Jambatan Sirat seperti angin yang berterbangan; 

(2) Kelompok yang melaluinya dan memijaknya; 

(3) Kelompok yang melaluinya dan terjatuh tetapi diselamatkan oleh Allah ta`ala dan selamat mereka melaluinya hingga ke Syurga; 

(4) Kelompok yang melaluinya dan terjatuh lalu masuk ke dalam neraka. Adapun orang-orang kafir kesemuanya melaluinya dan jatuh ke dalam neraka.

Firman Allah ta`ala:

وَإِن مِّنكُمْ إِلَّا وَارِدُهَا 

Dan tidak ada seorang pun daripada kamu melainkan akan mendatanginya (neraka, sama ada melaluinya & melepasinya atau melaluinya & memasukinya)

[Surah Maryam: 71]


Thursday, May 11, 2023

KOLAM AL-HAUDH

Hendaklah kita menyakini bahawa semua manusia mu`min akan meminum air daripada kolam haudh sebelum masuk memasuki Syurga. Al-Haudh (ض ُالحو(ialah sebuah tempat yang disediakan oleh Allah padanya minuman bagi ahli Syurga yang akan meminum air tersebut sebelum memasuki Syurga. Maka, mereka tidak akan ditimpa dahaga setelah minum air kolam Haudh selama-lamanya. Bagi setiap para Nabi mempunyai sebuah kolam Haudh untuk diminum oleh umatnya. Kolam Haudh yang paling besar ialah Haudh Nabi Muhammad SallaLlahu `alayhi wasallam. Di atas kolam Haudh tersebut terdapat bekas minuman yang banyak bilangannya sejumlah bintang di langit, dan punca mata air kolam Haudh tersebut daripada air di dalam Syurga.


Mafhum sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

أنا فرطكم على الحوض ليرفعن إلي رجال منكم حتى إذا أحويت لأناولهم اختلجوا دوني فأقول أي ربي أصحابي يقول لا تدري ما أحدثوا بعدك

Aku akan mendahului kalian di al haudh (telaga). Lalu ditampakkan di hadapanku beberapa orang di antara kalian. Ketika aku akan mengambilkan (minuman) untuk mereka dari al-haudh, mereka dijauhkan dariku. Aku lantas berkata ‘Wahai Rabbku, ini adalah umatku’. Allah berfirman: "Engkau tidak tahu (bid`ah yang buruk) yang mereka ada-adakan setelah kewafatanmu" [HR Bukhari: 6576, 7049]


Wednesday, May 10, 2023

SYAFA’AH

Hendaklah kita menyakini bahawa adanya syafa`ah. Syafa`ah (الشفاعة) ialah memohon kebaikan daripada orang lain untuk orang lain dan syafa`ah hanya untuk orang mu`min sahaja. Maka di antara mereka ialah para Anbiya', para `Ulama' Bertaqwa yang Beramal (`Ulama al-Atqiya' al-`Amilun), para Syuhada' dan para Malaikat. Para pemberi syafa`ah tersebut juga hanya yang dikehendaki oleh Allah sahaja yang dapat memberikan syafa`ah kepada orang mu`min.


Firman Allah ta`ala:

وَلَا يَشْفَعُونَ إِلَّا لِمَنِ ٱرْتَضَىٰ

Dan tiadalah mereka memberi syafaat melainkan kepada orang yang diredhai Allah

[Surah al-Anbiya': 28]


Firman Allah ta`ala:

مَن ذَا ٱلَّذِى يَشْفَعُ عِندَهُۥٓ إِلَّا بِإِذْنِهِۦ ۚ

Tiada sesiapa yang dapat memberi syafa`ah di sisi Allah kecuali dengan kehendakNya

[Surah al-Baqarah: 255]


Mafhum Sabda RasuluLlah:

شفاعتي لأهلي الكبائر من أمتي

Syafa`atku adalah bagi pelaku dosa besar (mu`min) daripada umatku [HR al-Hakim dalam al-Mustadrak]

NERACA MIZAN

Hendaklah kita menyakini bahawa adanya al-Mizan (الميزان) iaitu ia adalah sesuatu yang mempunyai dua tempat penimbang untuk menimbang amalan yang dilakukan oleh setiap manusia.

Bagi orang kafir tiada sebarang amalan kebaikan yang dibawa ke Hari Akhirat kelak, dan hanya terdapat amalan kejahatan yang akan ditimbang pada al-Mizan.

Bagi orang mu`min jika amalan kebaikan yang ditimbang melebihi daripada amalan kejahatan, maka dia akan masuk ke dalam syurga tanpa didahului oleh azab. Namun, jika amalan kejahatan melebihi daripada amalan kebaikan, dan jika Allah berkehendak mengampunkan dosa-dosanya maka terselamatlah dia serta masuk ke dalam Syurga. Manakala jika Allah berkehendak tidak mengampunkan dosa-dosanya maka dia akan diazab dalam Neraka pada suatu tempoh masa, dan akhirnya akan dikeluarkan lalu dimasukkan ke dalam Syurga.

Firman Allah ta`ala:

فَأَمَّا مَن ثَقُلَتْ مَوَٰزِينُهُۥ

فَهُوَ فِى عِيشَةٍۢ رَّاضِيَةٍۢ

وَأَمَّا مَنْ خَفَّتْ مَوَٰزِينُهُۥ

فَأُمُّهُۥ هَاوِيَةٌۭ

Maka orang yang berat timbangan amalan kebaikannya, maka dia dalam kehidupan yang senang, dan adapun orang yang ringan timbangan amalan kebaikannya, maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah [Surah al-Qari`ah: 6 - 9]


Tuesday, May 9, 2023

PAHALA DAN AZAB

Hendaklah kita menyakini bahawa adanya pahala dan azab. Pahala (الثواب) ialah balasan yang dikurniakan kepada orang mu`min pada Hari Akhirat yang mengembirakan. Manakala azab (العذاب) ialah balasan yang menyedihkan seseorang hamba itu pada Hari Akhirat tersebut seperti masuk ke dalam neraka dan segala seksaan di dalamnya.

Segala kebaikan yang dilakukan akan dibalas dengan ganjaran pahala jika ia kerana ketaatan kepada Allah, dan ia adalah suatu kurniaan daripada Allah dan bukanlah suatu kewajiban bagi Allah.

Segala keburukan yang dilakukan oleh seseorang hamba adalah sesuatu dosa yang buruk di sisi Allah dan akan dibalas dengan keburukan seperti seksaan azab. Namun, seseorang yang melakukan lebih banyak kebaikan pahala daripada dosa kecil maka ia terselamat. Tetapi bagi dosa besar jika Allah berkehendak mengampunkan sebahagian daripada pelaku dosa besar, maka tiadalah mereka itu diazab, manakala sebahagian daripada pelaku dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah maka ia akan diazab.


Firman Allah ta`ala:

مَن جَآءَ بِٱلْحَسَنَةِ فَلَهُۥ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ وَمَن جَآءَ بِٱلسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَىٰٓ إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Sesiapa yang datang dengan melakukan kebaikan maka ke atasnya sepuluh kali ganda pahala amalnya, dan sesiapa yang melakukan perbuatan yang jahat, maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, dan mereka sedikit pun tidak dianiaya [Surah al-An`am: 160]

Powered By Blogger