Monday, March 23, 2009

AL-KHALIQ [MENCIPTA SEGALA SESUATU]

Makna al-Khaliq (الخالقُ) ialah Allah Ta'ala mencipta, membentuk segala yang baharu (أبدع وكَوَّنَ جميعَ الحادثات) iaitu segala makhluqNya dengan mengeluarkannya daripada tiada kepada ada (الإِبراز من العدم إلى الوجود).

Sesungguhnya Allah Ta'ala menciptakan segala yang wujud (iaitu segala makhluq) di mana semua makhluq memerlukan kepada tempat dan berjisim-jisim (
الأجسام), sama ada yg berjisim latif (halus) ataupun yg berjisim kathif (kasar) seperti alam, manusia, 'arasy, syurga, neraka, roh, malaikat dan lain-lain daripada tiada kepada ada. Juga perlu kita mengetahui bahawa Allah Ta'ala juga menciptakan segala perbuatan (الأعمالِ) makhluqNya termasuk perbuatan manusia, haiwan, jin dan lain-lain.

Firman Allah Ta'ala:
قُلِ اللَّهُ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ
Katakanlah, Allah Menciptakan Segala Sesuatu
[Surah ar-Ra'd: 16]

Dan (
شَيْءٍ) membawa makna segala yang berjisim (الأجسام) dan juga segala perbuatan (الأعمالِ).

Firman Allah Ta'ala:
وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ
Dan Allah Menciptakan Kamu dan Apa Yang Kamu Lakukan (Perbuatan)
[Surah as-Saafat: 96]

Dua (2) nas di atas menjadi dalil yang sarih bahawa Allah Ta'ala menciptakan segala yg berjisim (
الأجسام) dan segala perbuatan (الأعمالِ).

Oleh itu, sesiapa yang berpegang bahawa Allah Ta'ala tidak menciptakan perbuatan makhluq, maka dia telah bertentangan dengan nas al-Quran, dan dia jatuh kufur. Sesungguhnya golongan muktazilah menafikan Allah Ta'ala yang menciptakan segala perbuatan makhluq.
Powered By Blogger