Sunday, March 22, 2009

AD-DAIM [KEKAL SELAMANYA IAITU TIDAK FANA]

Hendaklah kita mengetahui bahawa Allah Ta'ala adalah (الدائمُ) dengan erti kekal selama-lamanya iaitu (لا يلحقه ولا يجوز عليه الفناء) tidak harus sesekali ke atasNya fana. Dan juga dengan makna iaitu (الباقي) kerana adalah mustahil pada aqal ke atas Allah Ta'ala itu binasa.

Firman Allah Ta'ala:
وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
Dan Kekal (Selamanya) Zat Tuhan Kamu Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan
[Surah ar-Rahman: 27]

Perlu dijelaskan bahawa selain daripada Allah Ta'ala (iaitu segala makhluq yang diciptakan olehNya) adalah bersifat dengan harus pada aqal untuk binasa (fana atau tidak kekal). Dengan erti kata lain semua makhluq yang diciptakanNya harus untuk binasa termasuk manusia, 'arasy, syurga, neraka dan segala sesuatu selain Allah Ta'ala. Yang hanya kekal selama-lamanya adalah Allah Ta'ala sahaja yang tiada sesuatu pun bersekutu kekal denganNya.

Walaubagaimanapun, Syurga dan Neraka adalah makhluq yang diciptakan oleh Allah Ta'ala (daripada tiada kepada ada) yang harus pada aqal untuk binasa, tetapi dengan atas Kehendak Allah Ta'ala maka Syurga dan Neraka itu kekal.
Dan bukanlah kekalnya syurga dan neraka itu bersama dengan zat Allah Ta'ala. (وأَمَّا ديموميّة غيره كالجنّة والنار فهي ليسَت ذاتيّة بل هما شاءَ الله لهما البقاء).

Sesungguhnya kekalnya syurga dan neraka adalah berdasarkan kepada nas di dalam al-Quran, hadith Nabi dan ijma'.

Firman Allah Ta'ala:
إِنَّ اللَّهَ لَعَنَ الْكَافِرِينَ وَأَعَدَّ لَهُمْ سَعِيرًا {} خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا
Sesungguhnya Allah Melaknat Orang-orang Kafir dan Menyediakan Tempat Bagi Mereka Api Neraka Yang Marak Menjulang {64} Kekal Mereka (Orang-orang Kafir) Itu Di Dalamnya Selama-lamanya
[Surah al-Ahzab: 64 - 65]

Perlu diketahui bahawa barang sesiapa yang mengatakan bahawa syurga dan neraka itu fana (tidak kekal), atau syurga itu fana (tidak kekal) atau neraka itu fana (tidak kekal), maka sesungguhnya kata-katanya itu telah bertentangan dengan nas yg terkandung dlm al-Quran, dan dia jatuh kufur.

Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab 'Hadi al-Arwah ila Bilad al-Ifrah' karangan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (anak murid Ibnu Taimiyyah) sesungguhnya Ibnu Taimiyyah telah menyatakan bahawa Neraka itu Fana. [Rujuk kitab Hadi al-Arwah ila Bilad al-Ifrah, hlm 579 & 582] dan [Rujuk juga kitab karangan Ibnu Taimiyyah, ar-Rad 'ala Man Qala bi Fana al-Jannah wa an-Nar, hlm 67, hlm 71-72, hlm 52].

Powered By Blogger