Monday, April 20, 2009

AL-KALAM [ALLAH TA'ALA MAHA BERKATA-KATA]

Ketahuilah bahawa Allah Ta'ala bersifat dengan al-Kalam (الكلام) ya'ni Maha Berkata-kata. Sesungguhnya Kalam Allah Ta'ala adalah sifat dzatNya iaitu (Kalam Allah adalah) Qadim, Azali, Tiada Permulaan padaNya.
(
أَنَّ كلامَ الله الذي هو صفة ذاته قديم أزليٌّ لا ابتداءَ له)

Firman Allah Ta'ala:
وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًا
Dan Berkata Allah Kepada Musa Secara Langsung (Dengan Tanpa Perantaraan)
[Surah an-Nisa: 164]

Dan Allah Ta'ala Maha Berkata-kata dengan KalamNya yang tidak menyerupai kalam kita (tidak menyerupai manusia yang berkata-kata). Kalam Allah Ta'ala tidak mempunyai permulaan dan tiada berpenghujung. Kalam Allah Ta'ala juga tidak terputus-putus kerana KalamNya tidak memerlukan kepada huruf dan tidak memerlukan suara. Sesungguhnya Kalam Allah Ta'ala tidak menyerupai kalam sekalian makhluqNya.

Telah Berkata al-Imam Abu Hanifah:
ويتكلم لا ككلامنا نحن نتكلم بالألات من المخارج والحروف والله متكلم بلا ءالة ولا حرف
Dan Dia (Allah) Berkata-kata Tidak Seperti Kata-kata Kita (Manusia), Kita Berkata Dengan (Memerlukan) Alat Daripada Tempat Keluar Suara dan Huruf, Dan Allah (Maha) Berkata-kata Tanpa (Memerlukan) Alat dan Tanpa Huruf
[al-Fiqh al-Absat]

Adapun al-Quran, Taurat, Injil, Zabur dan sekalian kitab-kitab Allah Ta'ala itu adalah yang dimaksudkan untuk menunjukkan kepada Kalam dzatNya iaitu Kalam Allah Ta'ala yang Azali tidak berhuruf dan tidak memerlukan suara.
(
القرءان والتوراة والإِنجيل والزَّبور وسَائر كتب الله إن قُصد بها الكلام الذاتي فهي أزليّة ليس بحرف ولا صوت ).

Dan ia diturunkan sebahagiannya dalam bahasa arab, sebahagiannya dalam bahasa 'ibraniyyah, sebahagiannya dalam bahasa suryaniyyah agar dapat difahami oleh makhluqnya seperti manusia dan jin, di mana kesemuanya adalah baharu yang juga merupakan makhluq Allah Ta'ala. Kalam Allah Ta'ala bukanlah musnaf yang dicatatkan oleh malaikat dan Kalam Allah Ta'ala bukanlah musnaf yang ditulis oleh manusia yang boleh kita baca. Sesungguhnya musnaf yg dibaca dan musnaf yg dicatatkan tersebut adalah 'ibarah kepada Kalam Allah yang Azali dan Abadi
(
هو عبارة عنه يقال له كلام الله).

Sebagai contoh mudah, lafaz dan tulisan perkataan Allah (
الله) itu adalah 'ibarah yang menunjukkan kepada dzat (haqiqat) Allah Ta'ala yang Azali, Qadim, Abadi. Maka, lafaz dan tulisan (الله) itu adalah bukan dikatakan dengan makna Allah. Dan hendaklah kita memahami perkara ini dengan sejelas-jelasnya dan merujuk dengan bertalaqqi sebaiknya bagi menyingkap segala kesamaran, mudah-mudahan beroleh kefahaman, insya Allah.

Dan perlu ditegaskan bahawa, hendaklah kita berpegang bahawa Allah Ta'ala tidak menyerupai segala sesuatu daripada sekalian makhluq yang diciptakan olehNya sama ada pada DzatNya (HaqiqatNya), SifatNya dan PerbuatanNya.

Firman Allah Ta'ala:

ليسَ كمثلِهِ شىءٌ
Tidak Menyerupai Dia (Allah) Dengan Segala Sesuatu
[Surah as-Syura: 11]

Powered By Blogger