Friday, April 10, 2009

SEGALA SELAIN ALLAH ADALAH BAHARU & MAKHLUQ

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Ta'ala adalah al-Qadim (Tiada Permulaan KewujudanNya) ya'ni Azali, manakala apa selainNya adalah baharu (فهو القديمُ وما سواهُ حادثٌ). Dan Allah Ta'ala adalah Pencipta segala sesuatu, manakala selainNya adalah makhluq (وهوَ الخالقُ وما سواهُ مخلوقٌ). Dan termasuk daripada mahkluq itu adalah 'alam, manusia, syurga, neraka, 'arasy, kursi, malaikat, jin, langit, tempat, masa dan segala-galanya selainNya di mana kesemuanya diciptakan oleh Allah Ta'ala daripada tiada kepada ada dengan bersifat baharu (makhluq itu adalah baharu).

Sesungguhnya 'alam adalah baharu daripada sudut (
الجنس) dan (الأفراد). Tetapi, terdapat apa yang dipegang oleh golongan falsafah adalah bertentangan 'aqidah iaitu dengan mengatakan bahawa 'alam yang di atas adalah azali dari sudut afradnya (العالَم العلويّ أزليّ بمادته وأفراده). Sebagai contoh mudah utk kita fahami makna al-jins dan al-afrad adalah seperti berikut, (الجنس) dgn makna "keduniaan, kemanusian", manakala (الأفراد) ialah "dunia, manusia" iaitu jisim itu sendiri. Mustahil dari segi 'aqal bahawa kemanusiaan itu wujud tanpa kewujudan manusia, manakala mustahil juga dari segi 'aqal bahawa keduniaan itu wujud tanpa dunia (yang berjisim) itu sendiri. Apa yg dikatakan oleh golongan falsafah tidak bersumberkan dalil nas malah sangat tidak boleh diterima dari sudut 'aqal dengan tidak boleh difahami dengan 'aqal manusia yang waras sekalipun. Dan daripada golongan yang terpengaruh dengan pegangan falsafah ini ialah pengikut Ibn Sina dan al-Farabi (Wal'iyadzubiLlah).

Dan terdapat juga sebahagian daripada mereka yang mengatakan bahawa (
العالَم قديم الجنسِ والنوعِ حادث الأَفراد) di mana ia adalah apa yang diikuti oleh Abu al-Abbas Ahmad bin Taimiyyah seperti yang telah dinyatakan dalam kitab-kitabnya. [Rujuk kitabnya (منهاج السُّنّة النبويّة) Minhaj as-Sunnah an-Nabawiyyah, Jld 1, hlm 224, hlm 83, hlm 109, Dar al-Kutub al-'Ilmiah, Beirut], [Rujuk kitabnya (وموافقة صريح المعقول لصحيح المنقول) Muwafaqah Sarih al-Ma'qul li Sarih al-Manqul, Jld 2, hlm 75, & Jld 1, hlm 245, Dar al-Kutub al-'Ilmiah, Beirut], [Rujuk kitab (كتاب نقد مراتب الإجماع) Naqd Maratib al-Ijma', hlm 168, Dar al-Kutub al-'Ilmiah, Beirut], dan [Rujuk kitab al-Fatawa, Jld 6, hlm 300, Tab'ah al-Ula, Riyadh] .

Oleh itu, sesiapa yang mengatakan 'alam ini azali (
العالَم العلويّ أزليّ بمادته وأفراده), (atau) mengatakan 'alam ini azali dari sudut nau' dan baharu dari sudut afradnya (العالَم قديم الجنسِ والنوعِ حادث الأَفراد), maka dia jatuh kufur sepertimana telah berkata al-Imam Badru ad-Din al-Zarkashi bahawa (وضلَّلهم المسلمون وكفّروهم) iaitu dengan makna sesungguhnya dua golongan tersebut adalah kufur dengan ijma' (معناه أَنَّ الفريقين كفّارٌ بالإجماع) [Rujuk kitabnya Tashnif al-Masami', Jld 4, hlm 633, Muassaah Qurtubah, al-Qahirah].
Powered By Blogger