Sunday, September 5, 2010

MENGIMANI NIKMAT KUBUR

Hendaklah kita mengimani tentang kewujudan nikmat di dalam kubur sebagaimana yang telah disampaikan oleh RasuluLlah (صلى الله عليه وسلم).

Diantara nikmat yang terdapat di dalam kubur ialah diluaskan kubur sehingga keluasan 70 hasta bagi orang yang bertaqwa kepada Allah dan orang yang dikehendaki oleh Allah seperti orang yang mati syahid walaupun terdapat melakukan dosa. Di samping itu, terdapat juga nikmat-nikmat kubur yang lain seperti diterangkan kubur dengan cahaya seumpama cahaya bulan purnama, dapat menghidu wangian syurga dan sebagainya.

RasuluLlah (صلى الله عليه وسلم) telah bersabda:
إِذَا قُبِرَ الْمَيِّتُ أَوِ الإِنْسَانُ أَتَاهُ مَلَكَانِ أَسْوَدَانِ أَزْرَقَانِ يُقَالُ لأَِحَدِهِمَا مُنْكَرٌ وَلِلآخَرِ نَكِيرٌ فَيَقُولاَنِ لَهُ: مَا كُنْتَ تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ مُحَمَّدٍ، فَهُوَ قَائِلٌ مَا كَانَ يَقُولُ، فَإِنْ كَانَ مُؤْمِنًا قَالَ: هُوَ عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، فَيَقُولاَنِ لَهُ إِنْ كُنَّا لَنَعْلَمُ أَنَّكَ لَتَقُولُ ذَلِكَ، ثُمَّ يُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ سَبْعُونَ ذِرَاعًا فِي سَبْعِينَ ذِرَاعًا، وَيُنَوَّرُ لَهُ فِيهِ، فَيُقَالُ لَهُ: نَمْ فَيَنَامُ كَنَوْمِ الْعَرُوسِ الَّذِي لاَ يُوقِظُهُ إِلاَّ أَحَبُّ أَهْلِهِ، حَتَّى يَبْعَثَهُ اللهُ مِنْ مَضْجَعِهِ ذَلِكَ
Apabila dikebumikan mayat atau insan itu, maka datanglah kepadanya dua malaikat yang berwarna hitam kebiruan, salah satunya bernama Munkar dan salah satu yang lain bernama Nakir. Maka malaikat itu bertanya: "Apakah yang kamu katakan tentang lelaki yang bernama Muhammad?". Maka dia menjawab sepertimana yang dikatakan di dunia dahulu, jika dia seorang yang beriman, dia akan berkata: "Dia (Muhammad) adalah hamba Allah dan RasulNya, Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah hamba dan Rasul Allah". Maka dua malaikat itu berkata kepadanya: "Sesungguhnya kami tahu kamu akan berkata sedemikian". Kemudian diluaskan kuburnya seluas 70 hasta (panjang dan lebar) dan diberikan cahaya di dalam kuburnya, maka dikatakan kepadanya: "Tidurlah". Lalu tidurlah dia seumpama pengantin yang tidak seorang pun dapat menyedarkannya selain kekasihnya, sehinggalah dibangkitkan oleh Allah daripada tempat pembaringan (sehingga hari kebangkitan).
[Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban]


Powered By Blogger