Saturday, September 4, 2010

MENGIMANI AZAB KUBUR

Adalah menjadi suatu kewajipan untuk kita mengimani tentang kewujudan azab kubur sepertimana yang telah disampaikan oleh junjungan kita, Nabi Muhammad (صلى الله عليه وسلم).

Sesungguhnya orang kafir yang mukallaf yang mana telah meninggal dunia tanpa bertaubat (iaitu berada dalam agama Islam), maka dia menerima azab di dalam kuburnya. Dia akan dipamerkan dengan pancaran api neraka di dalam kuburnya pada setiap awal pagi dan akhir petang setiap hari. Malah, kuburnya akan disempitkan dengan sedahsyat-dahyatnya sehinggakan tulang rusuknya renyuk dan dipukul dengan tukul besi oleh dua malaikat (Munkar dan Nakir) (ضرب منكرٍ ونكير له بمطرقة بين أذنيه
) ke tengkuknya (iaitu yang berada di antara dua telinga orang kafir itu), serta azab-azab lain.

Adapun sebahagian orang Islam yang menderhaka iaitu mati tanpa bertaubat, maka diazabkan dalam kuburnya dengan keazaban yang sedikit ringan daripada azab yang diterima oleh orang kafir. Di antara azab yang ditanggungnya ialah merasai gegaran dalam kuburnya sehingga berasa amat takut dalam kegelapan yang sangat dahsyat.

Maka seseorang yang mengingkari tentang keimanan terhadap azab kubur maka dia jatuh kufur.

Firman Allah Ta'ala:
ٱلنَّارُ يُعۡرَضُونَ عَلَيۡہَا غُدُوًّ۬ا وَعَشِيًّ۬اۖ وَيَوۡمَ تَقُومُ ٱلسَّاعَةُ أَدۡخِلُوٓاْ ءَالَ فِرۡعَوۡنَ أَشَدَّ ٱلۡعَذَابِ

Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): "Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!"

[Surah Ghafir: 46]


RasuluLlah (
صلى الله عليه وسلم) telah bersabda:
إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا وُضِعَ فِي قَبْرِهِ وَتَوَلَّى عَنْهُ أَصْحَابُهُ إِنَّهُ لَيَسْمَعُ قَرْعَ نِعَالِهِمْ إِذَا انْصَرَفُوا أَتَاهُ مَلَكَانِ فَيُقْعِدَانِهِ فَيَقُولاَنِ: مَا كُنْتَ تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ مُحَمَّدٍ؟ فَأَمَّا الْمُؤْمِنُ فَيَقُولُ: أَشْهَدُ أَنَّهُ عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ، فَيُقَالُ لَهُ: أُنْظُرْ إِلَى مَقْعَدِكَ مِنَ النَّارِ أَبْدَلَكَ اللهُ بِهِ مَقْعَدًا مِنَ الْجَنَّةِ، فَيَرَاهُمَا جَمِيعًا، وَأَمَّا الْكَافِرُ أَوِ الْمُنَافِقُ فَيَقُولُ: لاَ أَدْرِي كُنْتُ أَقُولُ مَا يَقُولُ النَّاسُ فِيهِ، فَيُقَالُ لاَ دَرَيْتَ وَلاَ تَلَيْتَ، ثُمَّ يُضْرَبُ بِمِطْرَقَةٍ مِنْ حَدِيدٍ بَيْنَ أُذُنَيْهِ فَيَصِيحُ صَيْحَةً يَسْمَعُهَا مَنْ يَلِيهِ إِلاَّ الثَّقَلَيْنِ
Sesungguhnya seorang hamba itu apabila diletakkan ke dalam kubur dan sahabat-sahabatnya berpaling untuk pulang, dia mendengar hentakan kasut mereka ketika mereka beredar, lalu datanglah dua malaikat mendudukkannya lalu berkata: "Apakah yang kamu katakan tentang lelaki yang bernama Muhammad?". Maka orang yang beriman akan menjawab: "Aku bersaksi bahawa dia adalah hamba Allah dan RasulNya", lalu dikatakan kepadanya: "Lihatlah tempat kamu di Neraka sesungguhnya Allah telah gantikan untukmu tempat di dalam Syurga", maka dia pun melihat keduanya. Adapun orang kafir atau munafik (iman), dia berkata: "Aku tidak tahu, dahulu aku hanya berkata apa yang dikatakan oleh manusia", lalu dikatakan kepadanya: "Kamu tidak tahu apa-apa", kemudian dia dipukul dengan tukul besi di bahagian antara dua telinganya, lalu dia menjerit dengan jeritan yang kuat, didengari oleh semua di sekitarnya kecuali jin dan manusia.
[Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Anas daripada Nabi (صلى الله عليه وسلم)]

Oleh itu, hendaklah kita mempercayai tentang kewujudan azab kubur dengan keimanan yang kukuh tanpa mempertikaikannya. Sesiapa menolak kepercayaan terhadap kewujudan azab kubur, maka sesungguhnya dia telah menolak dan bercanggahan dengan dalil al-Quran dan al-Hadith, malah menyebabkan dia terjerumus kepada kekufuran.


Powered By Blogger