Tuesday, March 17, 2009

DHARURIYYAT AL-I'TIQAD TIDAK HARUS DIJAHILI

'Aqidah yang melibatkan perkara-perkara i'tiqad merupakan ilmu yang paling utama yang wajib dipelajari, diketahui, difahami dan dipegang daripada keseluruhan ilmu fardhu 'ain. Maka, adalah menjadi suatu kewajipan (wajib) bagi setiap mukallaf untuk mengetahuinya. Sesungguhnya, 'aqidah yang benar ialah 'aqidah ahlu sunnah wal jama'ah dan ia dapat menyelamatkan seseorang mukallaf itu daripada terjerumus ke dalam neraka selama-lamanya. Ia adalah ni'mat yang paling besar daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan rahmatNya melalui i'tiqad yang haq yang dipegang, ia dapat menjamin untuk memasuki syurga yang Allah Ta'ala ciptakan untuk kekal selamanya dengan kehendakNya.

Di antara perkara yang paling penting yang perlu dipegang ialah beriman (percaya) kepada Allah Ta'ala dan RasulNya. Sesungguhnya segala amalan kebaikan, kebajikan mahupun 'ibadah tidak akan diterima (tidak sah) oleh Allah Ta'ala jika tidak mengetahui (ma'rifah) dengan beriman kepada Allah Ta'ala.

Sebagaimana kata-kata Imam al-Ghazali:
لاتَصِحُّ الْعِبَادَةُ إِلا بَعْدَ مَعْرِفَةِ الْمَعْبُودِ
Tidak Sah Ibadat Itu Kecuali Setelah Mengetahui (Allah) Yang Disembah

Ketahuilah, syarat diterima segala 'ibadah dan amalan kebaikan ialah dengan i'tiqad yang benar (keimanan) dan bukanlah banyaknya amalan kebaikan & ibadah itu syarat untuk diterima keimanan.

Oleh itu, tanpa i'tiqad yang benar, manusia itu adalah kafir dan akan ditempatkan ke dalam neraka yang Allah telah ciptakan dan kekal di dalamnya selama-lamanya (Wal 'iyazubilLah). Betapalah ruginya kehidupan di dunia ini yang hanya sementara jika di Akhirat kelak ditempatkan di neraka selamanya.

Powered By Blogger