Friday, March 27, 2009

AL-QADIR [BERKUASA KE ATAS SEGALA SESUATU]

Makna al-Qadir (القديرُ) ialah Allah Ta'ala bersifat dengan Maha Berkuasa dengan sifatNya yang Azali (Tiada Permulaan), Abadi (Kekal Selamanya) dan berkuasa ke atas segala al-mumkinat (الممكنات).
Iaitu makna al-Qadir (
المتَّصف بالقدرة، وهي صفةٌ أزليّةٌ أبديةٌ يؤثّر بها في الممكنات).

Al-Mumkinat ialah segala perkara dari sudut Hukum 'Aqal harus
untuk kewujudannya dan harus untuk ketiadaannya iaitu segala makhluq termasuk perbuatan makhluq yg diciptakan oleh Allah Ta'ala.

Perlu diketahui bahawa prinsip Hukum Aqal terbahagi kepada tiga (3) dan ianya perlu dipegang:
  • Wajib Pada 'Aqal: Apa yg tidak boleh digambar pada 'aqal ketiadaanNya iaitu Kewujudan Allah Ta'ala dan Sifat-sifatNya (Allah Ta'ala wajib pada 'aqal wujud dengan sifat-sifatnya)
  • Harus Pada 'Aqal: Apa yg boleh digambar pada 'aqal kewujudannya dan ketiadaanya iaitu segala al-mumkinat termasuk segala makhluq (makhluq boleh/harus pada 'aqal untuk wujud (ada) atau tidak diwujudkan (tiada))
  • Mustahil Pada 'Aqal: Apa yg tidak boleh digambar pada 'aqal kewujudannya iaitu kewujudan sesuatu yg menjadi sekutu bagi Allah Ta'ala (mustahil pada 'aqal sama sekali dengan kewujudan sekutu bagi Allah Ta'ala)
Amat ditegaskan bahawa kita hendaklah berpegang bahawa sifat al-Qadir (القديرُ) iaitu Allah Ta'ala berkuasa terhadap perkara yang Harus Pada 'Aqal (الممكنات) di mana berkuasanya Allah Ta'ala tidak berkaitan dengan perkara yang Wajib Pada 'Aqal dan perkara yang Mustahil Pada 'Aqal.

Oleh itu, kita tidak boleh menanyakan soalan seperti [Bolehkah Allah Ta'ala berkuasa mengambil sekutu bagiNya (wal'iyadzubiLlah)], kerana Kekuasaan Allah Ta'ala tidak berkaitan terhadap perkara yang mustahil pada 'aqal. Dan juga kita tidak boleh mengatakan [Allah berkuasa untuk mentiadakan dirinya (wal'iyadzubilLah)], kerana Kekuasaan Allah Ta'ala tidak berkaitan terhadap perkara yang wajib pada 'aqal. Hendaklah kita memahami dengan jelas terhadap perkara ini dan berhati-hati kerana jika kita beri'tiqad atau hanya mengatakan sedemikian ia boleh membatalkan 'aqidah dan jatuh kufur.

Firman Allah Ta'ala:
وَيَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Dan Dia (Allah) Mengetahui (Segala) Apa Di Langit Dan (Segala) Apa Di Bumi, Dan Allah Maha Berkuasa Ke Atas Segala Sesuatu
[Surah Ali 'Imran: 29]

Sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu (yg termasuk dalam perkara-perkara yang harus pada aqal) iaitu perkara yang berjisim (segala makhluq), perbuatan manusia, usaha manusia, niat di hati, lintasan di hati, degupan jantung, pernafasan dan lain-lain. Sesiapa yang mengatakan atau ber'itiqad bahawa Allah Ta'ala tidak berkuasa terhadap perbuatan manusia, maka dia telah bertentangan dengan nas al-Quran. Dan sesiapa yg bertentangan dengan nas al-Quran, maka dia jatuh kufur.

Golongan muktazilah menafikan bahawa Allah Ta'ala berkuasa dan mencipta ke atas perbuatan manusia. Taqiyyuddin an Nabhani (Pengasas Hizb at-Tahrir) dalam kitabnya Syakhsiyyah al-Islamiyyah menyatakan seperti berikut: "Segala perbuatan manusia tidak terkait dengan Qadha Allah, kerana perbuatan tersebut ia lakukan atas inisiatif manusia itu sendiri dan dari ikhtiarnya. Maka semua perbuatan yg mengandung unsur kesengajaan dan kehendak manusia tidak termasuk dalam Qadha" (Wal'iyadzubiLlah). [Rujuk kitabnya Syakhsiyyah al-Islamiyyah, Juz 1, bah. 1, hlm 71-72].
Powered By Blogger