Wednesday, December 30, 2009

BERSAKSI NABI MUHAMMAD ADALAH RASUL ALLAH

Kalimah (أشهدُ أنَّ محمدًا رسولُ الله) membawa erti ‘Aku bersaksi bahawa (Nabi) Muhammad adalah Rasul Allah’. Iaitu dengan makna Aku bersaksi (mengetahui, mempercayai/meyakini, mengiktiraf) bahawa Muhammad bin Abdullah bin ^Abdul Mutallib bin Hashim bin ^Abd al-Manaf daripada bangsa Quraisy (صلى الله عليه وسلم) adalah hamba Allah dan Rasul Allah kepada sekalian makhluq di kalangan manusia dan jin.


Firman Allah Ta^ala:

تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَىٰ عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا

Maha Berkat Tuhan Yang Menurunkan Al-Furqaan Kepada HambaNya (Muhammad), Untuk Menjadi Peringatan Dan Amaran Bagi Seluruh Penduduk Alam.

[Surah al-Furqan: 1]


Nabi Muhammad (صلى الله عليه وسلم) dilahirkan di Makkah pada bulan Rabi^ al-Awwal dalam tahun Gajah, dan diturunkan wahyu kenabian kepada beliau pada umur 40 tahun. Kemudian beliau berhijrah ke Madinah selepas penurunan wahyu selama 13 tahun dan tinggal di Madinah selama 10 tahun sebelum kewafatannya. Selepas kewafatannya, beliau dikebumikan di Madinah al-Munawwarah di bilik Umm al-Mu’minin ^Aishah.


Kita juga hendaklah menyakini bahawa Nabi Muhammad adalah benar tentang segala yang disampaikannya dan apa yang disampaikannya adalah daripada Allah Ta^ala di mana kita perlu mengimani dan mengikutinya.


Firman Allah Ta^ala:

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ {} إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ

Dan Dia (Muhammad) Tidak Memperkatakan (Sesuatu Yang Berhubung Dengan Agama Islam) Menurut Kemahuan Dan Pendapatnya Sendiri { }

Segala Yang Diperkatakannya Itu (Sama ada Al-Quran atau Hadis) Tidak Lain Hanyalah Wahyu Yang Diwahyukan Kepadanya.

[Surah an-Najm: 3 – 4]


Di antara perkara-perkara yang disampaikan oleh RasuluLlah, Nabi Muhammad (صلى الله عليه وسلم) kepada kita yang perlu kita mempercayainya dan mengimani ialah:


'Nabi' (yang bukan Rasul) adalah insan yang diturunkan wahyu kepadanya dengan tanpa mengandungi syariat yang baru di mana perlu mengikut syariat daripada Rasul yang diutuskan sebelumnya, dan diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikan (tabligh).


Manakala 'Nabi' (yang Rasul) adalah insan yang diturunkan wahyu kepadanya dengan mengandungi syariat yang baru, dan diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikan (tabligh).


Oleh itu, setiap Rasul adalah Nabi dan setiap Nabi itu tidak kesemuanya adalah Rasul di mana mereka dibezakan dengan penurunan wahyu yang mengandungi syariat yang baru ataupun tidak. Walaubagaimanapun, setiap Nabi dan setiap Rasul adalah diperintahkan untuk menyampaikan risalah kepada sekalian manusia dan jin.


Firman Allah Ta^ala:

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ

Pada Mulanya Manusia Itu Ialah Umat Yang Satu (Menurut Agama Allah Yang Satu, Tetapi Setelah Mereka Berselisihan), Maka Allah Mengutuskan Nabi-nabi Sebagai Pemberi Khabar Gembira (Kepada Orang-orang Yang Beriman Dengan Balasan Syurga, Dan Pemberi Amaran (Kepada Orang-orang Yang Ingkar Dengan Balasan Azab Neraka)

[Surah al-Baqarah: 213]


Powered By Blogger