Hendaklah kita beriman bahawa adanya al-Hasyr (الحشر) atau perhimpunan. Al-Hasyr ialah suatu keadaan selepas kebangkitan di mana seseorang itu dikeluarkan daripada kuburnya ke mawqif (tempat perhentian) untuk dihimpunkan. Terdapat tiga (3) keadaan manusia di hari perhimpunan tersebut iaitu:
(1) Golongan yang berpakaian, berkenderaan dan bermakanan. Mereka itu adalah golongan orang-orang yang bertaqwa.
(2) Golongan yang tidak berpakaian dan tidak berkasut. Mereka itu adalah golongan orang-orang mukmin yang fasiq.
(3) Golongan yang diheret dan berjalan di atas wajah mereka. Mereka itu adalah golongan orang-orang kafir.
Maka semua manusia akan dihimpunkan pada hari tersebut, dan begitu juga semua jin dan haiwan.
Firman Allah ta’ala:
واتقوا الله واعلموا أنكم إليه تحشرون
Dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah kamu bahawa kamu akan dihimpunkan kepadaNya
[Surah al-Baqarah: 203]
Dan Firman Allah ta’ala:
وَنَحْشُرُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ عُمْيًا وَبُكْمًا وَصُمًّا
Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak
[Surah al-Isra’: 97]
Dan Firman Allah ta’ala:
وَإِذَا الْوُحُوشُ حُشِرَتْ
Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan
[Surah al-Takwir: 5]