Wednesday, June 16, 2021

AL HISAB (TIMBANGAN AMAL)

Hendaklah kita menyakini bahawa adanya al-Hisab pada Hari Qiyamah kelak setelah peristiwa al-Ba’ath (kebangkitan) dan perhimpunan Mahsyar. Al-Hisab adalah keadaan dipamerkan segala amalan para hamba ke atas mereka dan perhitungan ke atas mereka setelah mengambil kitab-kitab mereka. 

Adapun bagi orang yang beriman maka mereka akan mengambil kitabnya dengan tangan kanannya, manakala bagi orang kafir maka mereka mengambil kitabnya dengan tangan kiri daripada belakangnya. Kitab tersebut adalah segala apa amalan kebaikan dan keburukan yang dicatat oleh dua (2) para malaikat iaitu Raqib dan ‘Atid ketika berada di dunia ini.

Firman Allah ta’ala:

فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ

فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًا يَسِيرًا

وَيَنقَلِبُ إِلَىٰ أَهْلِهِ مَسْرُورًا.

وَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ وَرَاءَ ظَهْرِهِ

فَسَوْفَ يَدْعُو ثُبُورًا

وَيَصْلَىٰ سَعِيرًا

Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, - maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.

[Surah al-Inshiqaq - 7 - 12]

Saturday, June 12, 2021

HARI QIYAMAH

Hari qiyamah bermula daripada keluar manusia dari perkuburan mereka sehingga menetapnya ahli syurga di dalam syurga dan menetapnya ahli neraka di dalam neraka. Jangkamasa tempoh hari qiyamah itu ialah selama 50,000 tahun.

Firman Allah ta’ala:

فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

Pada hari [qiyamah] adalah jangkamasanya lima puluh ribu tahun.

[Surah al-Ma'arij: 4]

Wednesday, June 9, 2021

PERHIMPUNAN MAHSYAR

Hendaklah kita beriman bahawa adanya al-Hasyr (الحشر) atau perhimpunan. Al-Hasyr ialah suatu keadaan selepas kebangkitan di mana seseorang itu dikeluarkan daripada kuburnya ke mawqif (tempat perhentian) untuk dihimpunkan. Terdapat tiga (3) keadaan manusia di hari perhimpunan tersebut iaitu:

(1) Golongan yang berpakaian, berkenderaan dan bermakanan. Mereka itu adalah golongan orang-orang yang bertaqwa.

(2) Golongan yang tidak berpakaian dan tidak berkasut. Mereka itu adalah golongan orang-orang mukmin yang fasiq.

(3) Golongan yang diheret dan berjalan di atas wajah mereka. Mereka itu adalah golongan orang-orang kafir. 

Maka semua manusia akan dihimpunkan pada hari tersebut, dan begitu juga semua jin dan haiwan. 

Firman Allah ta’ala:

واتقوا الله واعلموا أنكم إليه تحشرون

Dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah kamu bahawa kamu akan dihimpunkan kepadaNya

[Surah al-Baqarah: 203] 

Dan Firman Allah ta’ala:

وَنَحْشُرُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ عُمْيًا وَبُكْمًا وَصُمًّا 

Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak

[Surah al-Isra’: 97]

Dan Firman Allah ta’ala:

وَإِذَا الْوُحُوشُ حُشِرَتْ

Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan

[Surah al-Takwir: 5]


Powered By Blogger