Friday, February 4, 2011

HARI KEBANGKITAN

Hendaklah kita mengetahui dan mengimani bahawa kewujudan Hari Kebangkitan adalah satu kepastian yang akan berlaku. Ia adalah suatu keadaan di mana akan dibangkitkan orang-orang yang telah meninggal dunia daripada kubur-kubur mereka setelah dikembalikan jasad yang telah dimakan oleh tanah.

Walaubagaimapun, terdapat tiga (3) golongan yang mana jasad mereka tetap terpelihara dengan tidak dimakan oleh tanah iaitu para Nabi-nabi, para Syuhada di medan perang dan sebahagian para Wali.

Firman Allah Ta'ala:

وَأَنَّ ٱلسَّاعَةَ ءَاتِيَةٌ۬ لَّا رَيۡبَ فِيہَا وَأَنَّ ٱللَّهَ يَبۡعَثُ مَن فِى ٱلۡقُبُورِ

Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang di dalam kubur.

[Surah al-Haj: 7]

Wednesday, February 2, 2011

PERSOALAN MALAIKAT MUNKAR & NAKIR

Kita adalah wajib mengimani bahawa adanya soalan daripada malaikat Munkar dan Nakir ketika berada di kubur. Persoalan tersebut berlaku sama ada terhadap orang yang mukmin dan orang yang kafir. Persoalan Munkar dan Nakir ini adalah merujuk kepada RasuluLlah (صلى الله عليه وسلم) telah bersabda:

إِذَا قُبِرَ الْمَيِّتُ أَوِ الإِنْسَانُ أَتَاهُ مَلَكَانِ أَسْوَدَانِ أَزْرَقَانِ يُقَالُ لأَِحَدِهِمَا مُنْكَرٌ وَلِلآخَرِ نَكِيرٌ فَيَقُولاَنِ لَهُ: مَا كُنْتَ تَقُولُ فِي هَذَا الرَّجُلِ مُحَمَّدٍ، فَهُوَ قَائِلٌ مَا كَانَ يَقُولُ، فَإِنْ كَانَ مُؤْمِنًا قَالَ: هُوَ عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، فَيَقُولاَنِ لَهُ إِنْ كُنَّا لَنَعْلَمُ أَنَّكَ لَتَقُولُ ذَلِكَ، ثُمَّ يُفْسَحُ لَهُ فِي قَبْرِهِ سَبْعُونَ ذِرَاعًا فِي سَبْعِينَ ذِرَاعًا، وَيُنَوَّرُ لَهُ فِيهِ، فَيُقَالُ لَهُ: نَمْ فَيَنَامُ كَنَوْمِ الْعَرُوسِ الَّذِي لاَ يُوقِظُهُ إِلاَّ أَحَبُّ أَهْلِهِ، حَتَّى يَبْعَثَهُ اللهُ مِنْ مَضْجَعِهِ ذَلِكَ

Apabila dikebumikan mayat atau insan itu, maka datanglah kepadanya dua malaikat yang berwarna hitam kebiruan, salah satunya bernama Munkar dan salah satu yang lain bernama Nakir. Maka malaikat itu bertanya: "Apakah yang kamu katakan tentang lelaki yang bernama Muhammad?". Maka dia menjawab sepertimana yang dikatakan di dunia dahulu, jika dia seorang yang beriman, dia akan berkata: "Dia (Muhammad) adalah hamba Allah dan RasulNya, Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah hamba dan Rasul Allah". Maka dua malaikat itu berkata kepadanya: "Sesungguhnya kami tahu kamu akan berkata sedemikian". Kemudian diluaskan kuburnya seluas 70 hasta (panjang dan lebar) dan diberikan cahaya di dalam kuburnya, maka dikatakan kepadanya: "Tidurlah". Lalu tidurlah dia seumpama pengantin yang tidak seorang pun dapat menyedarkannya selain kekasihnya, sehinggalah dibangkitkan oleh Allah daripada tempat pembaringan (sehingga hari kebangkitan).
[Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban]

Bagi orang yang mempunyai keimanan yang sempurna, maka bagi mereka tiada sebarang ketakutan atau kebimbangan terhadap persoalan daripada kedua-dua malaikat tersebut. Ini kerana Allah Ta'ala telah menguatkan hatinya untuk tidak menghadapi sebarang kegerunan.

Persoalan dalam kubur dikecualikan bagi budak kecil yang telah mati sebelum mencapai baligh, dan juga sesiapa yang telah mati syahid di medan peperangan, serta para Anbiya`.

Powered By Blogger