Monday, March 30, 2009

ALLAH TA'ALA MELAKUKAN APA YG DIKEHENDAKINYA

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Ta'ala Melakukan apa yang Dia Kehendaki (الفعَّالُ لِمَا يُريد). Dan Allah Ta'ala Maha Berkuasa ke atas apa yg Dia Lakukan dengan KehendakNya yang Azali, Abadi dan Tidak Berubah-ubah. Oleh itu, Allah Ta'ala tidak dilemahkan oleh sesuatu akan kehendakNya, tidak dihalang oleh sesuatu pun akan kehendakNya, malah Allah Ta'ala tidak memerlukan serta tidak berhajat kepada sebarang pertolongan selainNya.

Firman Allah Ta'ala:
إِنَّ رَبَّكَ فَعَّالٌ لِمَا يُرِيدُ
Sesungguhnya Tuhanmu Berkuasa Melakukan Apa Yang Dia Kehendaki
[Surah Hud: 107]

Adapun, apabila kita berdo'a, kehendak Allah Ta'ala tidak sesekali akan berubah selepas do'a yg kita pohonkan itu. Do'a itu sebagai usaha bagi kita dan merupakan sebab ke atas kita untuk menerima apa yg Allah Ta'ala taqdirkan ke atas kita. Dan bukanlah sebab ke atas Allah untuk mengubah kehendakNya. Sesungguhnya do'a yg kita pohonkan itu telah pun Allah Ketahui, telah pun Allah Kehendaki kita berdo'a dan Allah juga menghendaki natijah sebab do'a itu sebelum kita berdo'a dengan kehendakNya yg kekal dan tidak sesekali berubah-ubah. Perlu ditegaskan bahawa kehendak yg berubah adalah dalil kepada perkara yang baharu dan ia mustahil bagi Allah Ta'ala (
ولا تتغيّر مشيئته لأنَّ تغيّر المشيئة دليلُ الحدوث، والحدوثُ مستحيلٌ على الله).

Sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Berkuasa, Maha Kehendaki dan Melakukan Apa Yg Dia Kehendaki dan kita sebagai hamba hanyalah mampu berusaha sebagai sebab (
فليسَ للعبدِ إلا الكسبُ) di mana dengan sebab itu natijahnya jatuh ke atas kita dan Allah Ta'ala menghendaki untuk berlaku "sebab" itu ke atas kita dan berlakunya "natijah sebab" itu juga dengan kehendakNya yg Azali, Abadi dan Tidak Berubah sama sekali.

Allah Ta'ala Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Dan tidak ada daya penjagaan untuk berlakunya sebarang kemaksiatan melainkan dengan penjagaan oleh Allah Ta'ala (لا حول عن معصية الله إلا بعصمة الله) dan tidak ada kekuatan untuk melakukan sebarang ketaatan melainkan dengan bantuan Allah Ta'ala (ولا قوّة على طاعة الله إلا بعون الله). Ini adalah penafsiran kepada hadith yg diriwayatkan oleh Abu Ya'la dengan sanad hasan daripada Ibnu Mas'ud, bersabda RasuluLlah (صلى الله عليه وسلم) dengan suatu lafaz yang sangat digalakkan untuk kita senantiasa membaca dan senantiasa mengulanginya iaitu: (لا حول ولا قوّة إلا بالله العليّ العظيم)

Segala apa yg Allah Ta'ala kehendaki, tetap berlaku dan apa yg Allah Ta'ala tidak kehendaki, tetap tidak berlaku sama sekali. Dan lafaz seperti berikut iaitu (ما شاء الله كان وما لم يشأْ لم يكن) adalah daripada hadith Nabi (صلى الله عليه وسلم) diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya.

Firman Allah Ta'ala:
وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا اقْتَتَلُوا وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ
Dan Jika Allah Kehendaki Tentulah Mereka Tidak Berbunuhan, Tetapi Allah Melakukan Apa Yang Dia Kehendaki
[Surah al-Baqarah: 253]

Sama ada perkara itu adalah perkara kebaikan, kejahatan, berbunuhan, ketaatan, kemaksiatan, kekufuran, keimanan segalanya berlaku dengan kehendak Allah Ta'ala. Apa jua yg Allah Ta'ala tidak kehendaki pasti tidak berlaku sama sekali. Allah Ta'ala menghendaki segala apa yg baik dan segala yg buruk tetapi Allah Ta'ala tidak menyuruh kita melakukan keburukan. Dan sesiapa yg menafikan kehendak Allah Ta'ala terhadap segala perkara keburukan maka dia menafikan nas al-Quran dan jatuh kufur. Sesungguhnya golongan muktazilah menafikan Allah Ta'ala berkehendak untuk menciptakan perkara keburukan.

Friday, March 27, 2009

AL-QADIR [BERKUASA KE ATAS SEGALA SESUATU]

Makna al-Qadir (القديرُ) ialah Allah Ta'ala bersifat dengan Maha Berkuasa dengan sifatNya yang Azali (Tiada Permulaan), Abadi (Kekal Selamanya) dan berkuasa ke atas segala al-mumkinat (الممكنات).
Iaitu makna al-Qadir (
المتَّصف بالقدرة، وهي صفةٌ أزليّةٌ أبديةٌ يؤثّر بها في الممكنات).

Al-Mumkinat ialah segala perkara dari sudut Hukum 'Aqal harus
untuk kewujudannya dan harus untuk ketiadaannya iaitu segala makhluq termasuk perbuatan makhluq yg diciptakan oleh Allah Ta'ala.

Perlu diketahui bahawa prinsip Hukum Aqal terbahagi kepada tiga (3) dan ianya perlu dipegang:
  • Wajib Pada 'Aqal: Apa yg tidak boleh digambar pada 'aqal ketiadaanNya iaitu Kewujudan Allah Ta'ala dan Sifat-sifatNya (Allah Ta'ala wajib pada 'aqal wujud dengan sifat-sifatnya)
  • Harus Pada 'Aqal: Apa yg boleh digambar pada 'aqal kewujudannya dan ketiadaanya iaitu segala al-mumkinat termasuk segala makhluq (makhluq boleh/harus pada 'aqal untuk wujud (ada) atau tidak diwujudkan (tiada))
  • Mustahil Pada 'Aqal: Apa yg tidak boleh digambar pada 'aqal kewujudannya iaitu kewujudan sesuatu yg menjadi sekutu bagi Allah Ta'ala (mustahil pada 'aqal sama sekali dengan kewujudan sekutu bagi Allah Ta'ala)
Amat ditegaskan bahawa kita hendaklah berpegang bahawa sifat al-Qadir (القديرُ) iaitu Allah Ta'ala berkuasa terhadap perkara yang Harus Pada 'Aqal (الممكنات) di mana berkuasanya Allah Ta'ala tidak berkaitan dengan perkara yang Wajib Pada 'Aqal dan perkara yang Mustahil Pada 'Aqal.

Oleh itu, kita tidak boleh menanyakan soalan seperti [Bolehkah Allah Ta'ala berkuasa mengambil sekutu bagiNya (wal'iyadzubiLlah)], kerana Kekuasaan Allah Ta'ala tidak berkaitan terhadap perkara yang mustahil pada 'aqal. Dan juga kita tidak boleh mengatakan [Allah berkuasa untuk mentiadakan dirinya (wal'iyadzubilLah)], kerana Kekuasaan Allah Ta'ala tidak berkaitan terhadap perkara yang wajib pada 'aqal. Hendaklah kita memahami dengan jelas terhadap perkara ini dan berhati-hati kerana jika kita beri'tiqad atau hanya mengatakan sedemikian ia boleh membatalkan 'aqidah dan jatuh kufur.

Firman Allah Ta'ala:
وَيَعْلَمُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Dan Dia (Allah) Mengetahui (Segala) Apa Di Langit Dan (Segala) Apa Di Bumi, Dan Allah Maha Berkuasa Ke Atas Segala Sesuatu
[Surah Ali 'Imran: 29]

Sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu (yg termasuk dalam perkara-perkara yang harus pada aqal) iaitu perkara yang berjisim (segala makhluq), perbuatan manusia, usaha manusia, niat di hati, lintasan di hati, degupan jantung, pernafasan dan lain-lain. Sesiapa yang mengatakan atau ber'itiqad bahawa Allah Ta'ala tidak berkuasa terhadap perbuatan manusia, maka dia telah bertentangan dengan nas al-Quran. Dan sesiapa yg bertentangan dengan nas al-Quran, maka dia jatuh kufur.

Golongan muktazilah menafikan bahawa Allah Ta'ala berkuasa dan mencipta ke atas perbuatan manusia. Taqiyyuddin an Nabhani (Pengasas Hizb at-Tahrir) dalam kitabnya Syakhsiyyah al-Islamiyyah menyatakan seperti berikut: "Segala perbuatan manusia tidak terkait dengan Qadha Allah, kerana perbuatan tersebut ia lakukan atas inisiatif manusia itu sendiri dan dari ikhtiarnya. Maka semua perbuatan yg mengandung unsur kesengajaan dan kehendak manusia tidak termasuk dalam Qadha" (Wal'iyadzubiLlah). [Rujuk kitabnya Syakhsiyyah al-Islamiyyah, Juz 1, bah. 1, hlm 71-72].

Thursday, March 26, 2009

AL-'ALIM [MAHA MENGETAHUI]

Allah Ta'ala bersifat dengan (العالِمُ) iaitu Maha Mengetahui dengan ilmuNya yang azali (tiada permulaan), abadi (kekal selamanya) dan tidak berubah-ubah (الله موصوفٌ بعلمٍ أزليّ أبديّ لا يتغيَّر). Sesungguhnya, ilmu Allah Ta'ala tidak bertambah dan tidak berkurang.

Manusia juga bersifat dengan sifat berilmu, namun keilmuan manusia itu senantiasa bertambah dan kekadang berkurangan akibat lupa. Oleh itu, sifat keilmuan manusia itu berbeza dengan kesempurnaan sifat ilmu bagi Allah Ta'ala yang kekal dan tidak berubah dengan tidak bertambah dan berkurang. Sesungguhnya segala apa yang berlaku adalah dengan pengetahuan Allah Ta'ala yang maha sempurna.

Firman Allah Ta'ala:
وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ ۚ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ ۚ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Dan Di SisiNya Kunci Perbendaharaan Segala Yg Ghaib Tiada Siapa Yg Mengetahuinya Melainkan Dia (Allah), Dan Dia (Allah) Mengetahui Apa Yg Ada Di Darat Dan Laut, Dan Tidak Gugur Daripada Sehelai Daun Pun Melainkan Dia Ketahui Dan Tidak (Gugur Sebutir) Biji Pun Di Dalam Kegelapan Bumi Dan Tidak Yg Basah Dan Tidak Yg Kering Melainkan (Semuanya Tertulis) Di Dalam Kitab (Lauh Mahfuz) Yg Terang Nyata
[Surah al-An'am: 59]

Tuesday, March 24, 2009

AL-RAZIQ [MEMBERI SEGALA REZEKI KEPADA HAMBANYA]

Makna ar-Raziq (الرازقُ) ialah Allah Ta'ala memberi dan menyampaikan segala rezeki kepada hamba-hambaNya (يوصل الأرزاق إلى عباده). Dan hendaklah kita ketahui bahawa segala rezeki itu (الأرزاق) termasuk semua rezeki daripada apa yang bermanfaat walaupun ianya haram.

Firman Allah Ta'ala:
وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا
Dan Tiadalah Daripada Makhluq-makhluq Yang Bergerak Di Bumi Melainkan Hanya Allah Yang Memberikan Rezekinya
[Surah Hud: 6]

Oleh itu, nas di atas jelas menunjukkan bahawa Allah Ta'ala memberikan segala rezeki kepada semua hamba-hambanya di dunia ini sama ada rezeki yang halal mahupun rezeki yang haram. Kerana sesungguhnya hanya Allah Ta'ala sahaja yang memberikan rezeki kepada hamba-hambaNya.

Dan sesiapa yang berpegang bahawa Allah Ta'ala hanya memberikan rezeki yang halal kepada hamba-hambaNya, maka dia telah bertentangan dengan nas al-Quran. Dan sesiapa yang bertentangan dengan al-Quran, maka dia jatuh kufur. Golongan muktazilah menafikan bahawa Allah Ta'ala memberikan segala rezeki (halal & haram) kepada hambaNya dengan hanya berpegang bahawa hanya sebahagian daripada rezeki (iaitu yang halal sahaja) yang disampaikan oleh Allah Ta'ala kepada hambaNya manakala rezeki yang haram itu tidak termasuk dalam rezeki yang disampaikan.

Monday, March 23, 2009

AL-KHALIQ [MENCIPTA SEGALA SESUATU]

Makna al-Khaliq (الخالقُ) ialah Allah Ta'ala mencipta, membentuk segala yang baharu (أبدع وكَوَّنَ جميعَ الحادثات) iaitu segala makhluqNya dengan mengeluarkannya daripada tiada kepada ada (الإِبراز من العدم إلى الوجود).

Sesungguhnya Allah Ta'ala menciptakan segala yang wujud (iaitu segala makhluq) di mana semua makhluq memerlukan kepada tempat dan berjisim-jisim (
الأجسام), sama ada yg berjisim latif (halus) ataupun yg berjisim kathif (kasar) seperti alam, manusia, 'arasy, syurga, neraka, roh, malaikat dan lain-lain daripada tiada kepada ada. Juga perlu kita mengetahui bahawa Allah Ta'ala juga menciptakan segala perbuatan (الأعمالِ) makhluqNya termasuk perbuatan manusia, haiwan, jin dan lain-lain.

Firman Allah Ta'ala:
قُلِ اللَّهُ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ
Katakanlah, Allah Menciptakan Segala Sesuatu
[Surah ar-Ra'd: 16]

Dan (
شَيْءٍ) membawa makna segala yang berjisim (الأجسام) dan juga segala perbuatan (الأعمالِ).

Firman Allah Ta'ala:
وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ
Dan Allah Menciptakan Kamu dan Apa Yang Kamu Lakukan (Perbuatan)
[Surah as-Saafat: 96]

Dua (2) nas di atas menjadi dalil yang sarih bahawa Allah Ta'ala menciptakan segala yg berjisim (
الأجسام) dan segala perbuatan (الأعمالِ).

Oleh itu, sesiapa yang berpegang bahawa Allah Ta'ala tidak menciptakan perbuatan makhluq, maka dia telah bertentangan dengan nas al-Quran, dan dia jatuh kufur. Sesungguhnya golongan muktazilah menafikan Allah Ta'ala yang menciptakan segala perbuatan makhluq.

Sunday, March 22, 2009

AD-DAIM [KEKAL SELAMANYA IAITU TIDAK FANA]

Hendaklah kita mengetahui bahawa Allah Ta'ala adalah (الدائمُ) dengan erti kekal selama-lamanya iaitu (لا يلحقه ولا يجوز عليه الفناء) tidak harus sesekali ke atasNya fana. Dan juga dengan makna iaitu (الباقي) kerana adalah mustahil pada aqal ke atas Allah Ta'ala itu binasa.

Firman Allah Ta'ala:
وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
Dan Kekal (Selamanya) Zat Tuhan Kamu Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan
[Surah ar-Rahman: 27]

Perlu dijelaskan bahawa selain daripada Allah Ta'ala (iaitu segala makhluq yang diciptakan olehNya) adalah bersifat dengan harus pada aqal untuk binasa (fana atau tidak kekal). Dengan erti kata lain semua makhluq yang diciptakanNya harus untuk binasa termasuk manusia, 'arasy, syurga, neraka dan segala sesuatu selain Allah Ta'ala. Yang hanya kekal selama-lamanya adalah Allah Ta'ala sahaja yang tiada sesuatu pun bersekutu kekal denganNya.

Walaubagaimanapun, Syurga dan Neraka adalah makhluq yang diciptakan oleh Allah Ta'ala (daripada tiada kepada ada) yang harus pada aqal untuk binasa, tetapi dengan atas Kehendak Allah Ta'ala maka Syurga dan Neraka itu kekal.
Dan bukanlah kekalnya syurga dan neraka itu bersama dengan zat Allah Ta'ala. (وأَمَّا ديموميّة غيره كالجنّة والنار فهي ليسَت ذاتيّة بل هما شاءَ الله لهما البقاء).

Sesungguhnya kekalnya syurga dan neraka adalah berdasarkan kepada nas di dalam al-Quran, hadith Nabi dan ijma'.

Firman Allah Ta'ala:
إِنَّ اللَّهَ لَعَنَ الْكَافِرِينَ وَأَعَدَّ لَهُمْ سَعِيرًا {} خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا
Sesungguhnya Allah Melaknat Orang-orang Kafir dan Menyediakan Tempat Bagi Mereka Api Neraka Yang Marak Menjulang {64} Kekal Mereka (Orang-orang Kafir) Itu Di Dalamnya Selama-lamanya
[Surah al-Ahzab: 64 - 65]

Perlu diketahui bahawa barang sesiapa yang mengatakan bahawa syurga dan neraka itu fana (tidak kekal), atau syurga itu fana (tidak kekal) atau neraka itu fana (tidak kekal), maka sesungguhnya kata-katanya itu telah bertentangan dengan nas yg terkandung dlm al-Quran, dan dia jatuh kufur.

Sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab 'Hadi al-Arwah ila Bilad al-Ifrah' karangan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (anak murid Ibnu Taimiyyah) sesungguhnya Ibnu Taimiyyah telah menyatakan bahawa Neraka itu Fana. [Rujuk kitab Hadi al-Arwah ila Bilad al-Ifrah, hlm 579 & 582] dan [Rujuk juga kitab karangan Ibnu Taimiyyah, ar-Rad 'ala Man Qala bi Fana al-Jannah wa an-Nar, hlm 67, hlm 71-72, hlm 52].

AL-QAYYUM [KEKAL YANG TIDAK BINASA SELAMA-LAMANYA]

Sesungguhnya Allah Ta'ala itu al-Qayyum (القيّومُ) iaitu kekal selama-lamanya dengan tidak sesekali akan binasa (الدائمُ الذي لا يزول). Dan sebahagian 'ulama mengatakan (القيّومُ) dengan membawa pengertian Allah Ta'ala bersifat (القائم) dengan tidak memerlukan sesuatu pun daripada selainNya.

Firman Allah Ta'ala:
اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
Allah, Tiada Tuhan (Yang Sebenar dan Berhak Disembah) Melainkan Dia Yang Maha Hidup, Yang Maha Kekal (Selama-lamanya)
[Surah al-Baqarah: 255]

AL-HAYYU [HIDUPNYA AZALI DAN ABADI]

Makna al-Hayy (الحيُّ) iaitu Allah Ta'ala bersifat dengan Maha Hidup dengan hidupnya Azali (yang tiada permulaan) dan Abadi (kekal selama-lamanya). Dan Allah Ta'ala hidup dengan tanpa dengan ruh, tanpa dengan daging dan tanpa dengan darah (موصوف بحياة أزليّة أبديّة ليست بروح ولحم ودم).

Firman Allah Ta'ala:
هُوَ الْحَيُّ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ
Dialah (Allah) Yang Maha Hidup Tiada Tuhan (Yang Sebenar dan Berhak Disembah) Melainkan Dia
[Surah Ghafir: 65]

Makhluq yang diciptakan oleh Allah Ta'ala seperti manusia dan haiwan memerlukan ruh, daging dan darah untuk hidup. Malah makhluq yang hidup yang diciptakan oleh Allah Ta'ala bersifat dengan hidup yang mempunyai permulaan (kelahiran) dan akan berakhir kehidupannya dengan kematian. Maha suci Allah Ta'ala daripada menyerupai makhluq yang diciptakanNya.

Firman Allah Ta'ala:
ليسَ كمثلِهِ شىءٌ
Tidak Menyerupai Dia (Allah) Dengan Segala Sesuatu
[Surah asy-Syura: 11]

Saturday, March 21, 2009

AL-AWWAL AL-QADIM [TIADA PERMULAAN KEWUJUDANNYA]

Ketahuilah bahawa Allah Ta'ala itu al-Awwal (الأولُ) iaitu tiada permulaan kewujudanNya (لا ابتداءَ لوجوده) dengan makna Allah Ta'ala telah sedia ada wujud dan kewujudannya tiada permulaan.

Firman Allah Ta'ala:
هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ
Dia (Allah) Yang Awwal (Tiada Permulaan KewujudanNya) dan Yang Akhir (Tiada Pengakhiran KewujudanNya)
[Surah al-Hadid: 3]

Oleh itu, kita perlu mengetahui bahawa kewujudan Allah Ta'ala telah sediakala ada dengan tanpa permulaan (Azali) dan kewujudanNya kekal selamanya tanpa ada pengakhiran (Abadi).

Manakala makhluq yang Allah Ta'ala ciptakan mempunyai permulaan iaitu daripada tiada kepada ada. Sesungguhnya kewujudan Allah Ta'ala tidak sama dengan adanya (wujudnya) semua makhluq yang Allah ciptakan iaitu kewujudan makhluq bermula daripada tiada kepada ada (ada permulaan).

Manakala
telah disepakatkan oleh ulama bahawa harus diitlaqkan Allah Ta'ala dengan al-Qadim (القديمُ) seperti yang dinyatakan oleh Syeikh al-Hafiz az-Zabidi dalam kitabnya Syarah Ihya 'Ulum ad-Din. Kalimah al-Qadim (القديمُ) boleh disebutkan di antara salah satu daripada nama-nama Allah yang mulia (أسماء الله الحسنى) yang mempunyai makna yang sama seperti al-Awwal (الأولُ) iaitu Azali dengan tiada permulaan kewujudanNya.

AL-AHAD [MAHA ESA & TIDAK MENERIMA PEMBAHAGIAN]

Perlu diketahui bahawa al-Ahad (الأحدُ) membawa makna yang sama seperti (الواحدُ) iaitu Yang Maha Esa (Tiada Sekutu BagiNya). Dan sebahagian 'ulama menjelaskan al-Ahad memberi erti bahawa Allah Ta'ala tidak menerima pembahagian dan tidak berjisim (لا يقبل الانقسام أي ليس جسمًا) serta tidak berjuzuk.

Sesungguhnya Allah Ta'ala tidak berjisim kerana setiap jisim itu boleh dibahagikan. Sebagai contoh (1) satu jisim boleh dibahagikan kepada (1/2) setengah jisim. Dan bukanlah seperti satu lembaga yang berjisim dan bukanlah seperti sesuatu di atas 'Arasy yang boleh dibahagikan atau dipotongkan menjadi juzuk-juzuk kecil daripadanya. Sesungguhnya jisim bersifat dengan boleh diukur dan ia mempunyai keluasan had, kepanjangan, ketinggian serta memerlukan ruang (tempat).

Maha Suci Allah daripada berjisim (Allah Ta'ala bukan berjisim) dan sesunguhnya Allah tidak menyerupai dengan segala sesuatu daripada makhluknya seperti yang kita gambarkan dalam pemikiran kita. Ketahuilah bahawa apa sahaja yang terbayang dan tergambar di fikiran kita, maka ia bukanlah Allah Ta'ala. Namun janganlah sehingga menafikan kewujudanNya. Sesungguhnya Allah Ta'ala Wujud dan tidak berjisim dan tidak memerlukan tempat.

Firman Allah Ta'ala:
قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ
Katakanlah (wahai Muhammad), Dia Allah (Tuhan) Yang Maha Esa
[Surah al-Ikhlas :1]

Friday, March 20, 2009

AL-WAHID [TIADA SEKUTU BAGI ALLAH TA'ALA]

Hendaklah kita mengetahui bahawa al-Wahid (الواحدُ) membawa makna bahawa Tiada Sekutu Bagi Allah Pada Uluhiyyah (لا شريك له في الألوهيّة). Iaitu tidak ada sesuatu pun yang bersekutu dan bersama denganNya sama ada makhluq ataupun segala apa yang dapat dibayangkan di fikiran kita.

Sesungguhnya selain daripada Allah itu adalah makhluq yang mana ia boleh kita gambarkan difikiran kita dengan berjisim. Sesungguhnya Allah itu tiada dapat digambar difikiran kita dan tidak mampu untuk kita gambarkan sekalipun. Maka, hendaklah kita berpegang bahawa Tiada Sekutu Bagi Allah dengan erti Allah itu Esa.

Firman Allah Ta'ala:
وَإِلَـهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ
Dan Tuhan Kamu Ialah Tuhan Yang Maha Esa
[Surah al-Baqarah: 163]


Perlu diketahui juga bahawa bukanlah Allah itu membawa erti satu yang boleh dikira (seperti satu lembaga) kerana sifat perkara yang boleh dikira itu membawa kepada bayangan jisim dan satu itu boleh dibahagi kepada setengah (1/2), kemudian kepada suku (1/4) dan seterusnya sehingga sekecil-kecil makhluq iaitu Jauhar al-Fard. Sesungguhnya Allah Ta'ala tidak sama dengan sesuatu pun.

Firman Allah Ta'ala:
ليسَ كمثلِهِ شىءٌ
Tidak Menyerupai Dia (Allah) Dengan Segala Sesuatu
[Surah asy-Syura: 11]


BERSAKSI TIADA TUHAN YANG BERHAK DISEMBAH MELAINKAN ALLAH

Kalimah ( أشهد أنْ لا إله إلا الله ) membawa erti Aku bersaksi bahawa 'Tiada Tuhan Yang Berhak Disembah Melainkan Allah' iaitu dengan makna ( لا معبودَ بحقّ إِلا الله ). Iaitu tiada Tuhan yang kita berhak menyembahnya dengan merendahkan diri serendah-rendahnya ( نهاية التذلّل ) melainkan Allah Ta'ala. Adapun, orang-orang kafir menyembah tuhan lain (pada sangkaan mereka itulah tuhan mereka seperti berhala, lembaga besar di atas 'Arasy dan lain-lain) yang hakikatnya bukan tuhan, maka itu sebenarnya bukanlah tuhan yang sebenar yang berhak disembah. Dan perlu ditegaskan bahawa hanya Allah sahaja yang perlu kita ketahui, yakini dan iktiraf adalah Tuhan yg Hak berhak untuk disembah dengan pengabdian diri hanyalah kepadaNya. Dan kita tidak boleh mengiktiraf tuhan lain seperti yg disangka puak kuffar sebagai tuhan. Firman Allah Ta'ala:
إياك نعبد
Hanya Engkau (Yang Berhak & Layak) Kami Sembah [Surah al-Fatihah : 5]
Manakala kalimah (أشهد) membawa erti:
  • (Aku Mengetahui, Aku Meyakini/Mempercayai, Aku Iktiraf)
  • (I Know, I Believe, I Declared)
  • ( أعلمُ وأعتقدُ وأعترفُ ).
Maka hendaklah kita bersaksi (mengetahui di hati dan mempercayai di hati dengan mengiktirafkan (melafazkan) dengan lisan) bahawa Tiada Tuhan Yang Sebenar Yang Berhak Untuk Disembah Melainkan Allah Sahaja. Mudah-mudahan kita dipelihara oleh Allah Ta'ala untuk kekal berada di dalam Islam selama-lamanya. (Wa Allah Ta'ala A'lam wa Ahkam).

Sesungguhnya Allah Ta'ala bersifat dengan segala Sifat Kesempurnaan Yg Layak BagiNya dan Maha Suci Allah Ta'ala daripada Segala Sifat Kekurangan. Sifat Allah Ta'ala tidaklah diketahui jumlahnya yang sebenar, namun terdapat tiga belas (13) sifat Allah Ta'ala yang wajib diketahui oleh setiap mukallaf seperti yang telah dinyatakan di dalam al-Qur'an iaitu:

1) al-Wujud (
الوجود): Ada
Allah Ta'ala Wujud (Telah Ada) Tanpa Permulaan (Azali) dan Kekal (Abadi)
Firman Allah Ta'ala:
 (أفي الله شك) Tiada Keraguan Akan Adanya Allah [Surah Ibrahim: 10], RasuluLlah (صلى الله عليه وسلم) Bersabda: (كان الله ولم يكن شىء غيره) Telah Ada Allah (Tanpa Permulaan) Dan Tiada Sesuatu Pun SelainNya [Diriwayatkan Oleh al-Bukhari]

2) al-Wahdaniyyah (الوحدانية): Maha Esa
Tiada Sekutu Bagi Allah Ta'ala
Firman Allah Ta'ala: (
لو كان فيهما ءالهة إلا الله لفسدتا) Jika Ada Di Langit dan Bumi Tuhan (Lain) Yg Selain Allah, Nescaya Rosaklah Kedua-duanya [Surah al-Anbiya`: 22]

3) al-Qidam (القِدم): Sediakala
Tiada Permulaan Kewujudan Allah Ta'ala
Firman Allah Ta'ala: (
هو الأول والآخر) Dialah (Allah) Yg Awwal (Tiada Berpermulaan KewujudanNya) dan Yg Akhir (Tiada Pengakhiran KewujudanNya) [Surah al-Hadid:3]

4) al-Baqa`(
البقاء): Kekal Selamanya
Tiada Pengakhiran Kewujudan Allah Ta'ala (Kekal), Tidak Mati & Tidak Binasa Selamanya
Firman Allah Ta'ala: (
ويبقى وجه ربك) Dan Kekal (Selamanya) Dzat Tuhanmu [Surah ar-Rahman: 27]

5) al-Qiyam bi an-Nafsi (
القيام بالنفس): Tidak Memerlukan Segala Sesuatu
Allah Ta'ala Tidak Memerlukan dan Tidak Berhajat Kepada Segala SelainNya
Firman Allah Ta'ala: (
فإن الله غني عن العالمين) Maka Sesungguhnya Allah Maha Kaya (Tidak Berhajat Kepada Segala Sesuatu) Daripada Sekalian Makhluq [Surah Ali 'Imran: 97]

6) al-Qudrah (القدرة): Maha Berkuasa
Maha Berkuasa Ke Atas Segala (
الممكنات) al-Mumkinat (Sesuatu Yg Harus Pada 'Aqal)
Firman Allah Ta'ala: (
وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ) Dan Allah Maha Berkuasa Ke Atas Segala Sesuatu [Surah Ali 'Imran: 29]

7) al-Iradah (الإِرادة): Maha Berkehendak
Melakukan Apa Yg DiKehendaki Pada Perkara Yg Harus Pada 'Aqal
Firman Allah Ta'ala: (
وما تشاؤن إلا أن يشاء الله رب العالمين) Dan Tidaklah Kamu Dapat Menentukan Kemahuan Kamu Melainkan Dengan Kehendak Allah Tuhan Sekalian Alam [Surah al-Takwir: 29]

8)
 al-'Ilmu (العِلم): Maha Mengetahui
Allah Ta'ala Maha Mengetahui Dengan IlmuNya Yg Azali, Abadi dan Tidak Berubah-ubah
Firman Allah Ta'ala: (
وأن الله قد أحاط بكل شىء علماً) Dan Bahawa Sesungguhnya Allah Tetap Meliputi 'IlmuNya Terhadap Segala Sesuatu [Surah at-Talaq: 12]

9) as-Sama' (السمع): Maha Mendengar
Maha Mendengar Dgn PendengaranNya Yg Azali Yg Tidak Menyerupai Pendengaran MakhluqNya
Firman Allah Ta'ala: (وهو السميع البصير) Dan Dia (Allah) Maha Mendengar Lagi Maha Melihat [Surah al-Syura: 11]

10) al-Basar (البصر): Maha Melihat
Maha Melihat Dengan PenglihatanNya Yg Tidak Menyerupai Penglihatan MakhluqNya
Firman Allah Ta'ala: (وهو السميع البصير) Dan Dia (Allah) Maha Mendengar Lagi Maha Melihat [Surah al-Syura: 11]

11) al-Hayah (الحياة): Maha Hidup
Allah Ta'ala Maha Hidup Iaitu HidupNya Azali, Abadi Tidak Memerlukan Ruh, Tidak Memerlukan Daging, Tidak Memerlukan Darah
Firman Allah Ta'ala: (
الله لا إله إلا هو الحي القيوم) Allah Tiada Tuhan (Yg Sebenar Dan Layak Disembah) Melainkan Dia Yg Maha Hidup Lagi Maha Kekal [Surah al-Baqarah: 255]

12) al-Kalam (الكلام): Maha Berkata-Kata
Allah Ta'ala Maha Berkata-kata Dgn KalamNya Yg Azali, Abadi, Tanpa Huruf, Tanpa Memerlukan Suara, Dan Tanpa Memerlukan Bahasa
Firman Allah Ta'ala: (
وكلم الله موسى تكليماً) Dan Berkata Allah Kepada Musa Secara Langsung (Dengan Tanpa Perantaraan) [Surah an-Nisa`: 164]

13) al-Mukhalafatu li al-Hawadith (المخالفة للحوادث): Tidak Menyerupai Segala Yg Baharu
Allah Ta'ala Tidak Menyerupai Segala Sesuatu Daripada MakhluqNya. Segala Makhluq Adalah Bersifat Baharu
Firman Allah Ta'ala: (
ليس كمثله شىء) Tidak Menyerupai Dia (Allah) Dengan Segala Sesuatu [Surah al-Syura:11]

Sesungguhnya sifat-sifat tersebut telah dinyatakan di dalam al-Qur`an sama ada dengan lafaznya atau secara makna. Dan ini adalah merupakan 'aqidah Ahlu Sunnah wa al-Jama'ah yang perlu dipegang menurut Manhaj al-Imam Abu Hassan al-Ash'ari (al-Asha'irah). Adapun menurut Manhaj al-Imam Abu Mansur al-Maturidi (al-Maturidiyyah) pembahagian tersebut dipecahkan lagi sehingga menjadi dua puluh (20), di mana kedua-dua manhaj tersebut membawa makna i'tiqad yang sama.

Oleh itu, adalah menjadi fardhu 'ain (wajib) kepada kita untuk mengetahui sifat-sifat Allah Ta'ala tersebut dan kita perlu berpegang selamanya.

Thursday, March 19, 2009

LAFAZ DUA KALIMAH SYAHADAH DAN ISLAM

Setiap mukallaf itu hendaklah mengetahui dan memahami (ma'rifah) tentang Allah & RasulNya dengan mengucapkan Dua Kalimah Syahadah sekali seumur hidupnya untuk masuk ke dalam Islam. Walaubagaimanapun, bagi mukallaf yang telah dilahirkan di dalam Islam (ibu & ayahnya telah Islam), maka cukuplah dengan diwajibkan mengucapkan Dua Kalimah Syahadah pada setiap kali solatnya yang ditunaikan.

Lafaz Dua Kalimah Syahadah ialah:


أشهد أنْ لا إله إلا الله وأشهد أنَّ محمدًا رسول الله
[Aku Bersaksi Bahawa Tiada Tuhan (Yg Berhak Disembah)
Melainkan Allah

Dan (Nabi) Muhammad Adalah Rasul Allah]

Bagi mukallaf yg pada asalnya kafir, maka hendaklah dia mengucapkan dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah ini dengan betul dan tepat. Dan hendaklah diterjemahkan pada bahasa yang dia fahami jika tidak memahami Bahasa 'Arab bagi A'jamiyyan. Perlu kita ketahui bahawa setiap perkataan yg dilafazkan perlu tepat dan jika tidak mampu untuk menyebut dengan tepat seperti pada huruf ha pedas bagi kalimah (محمدًا) maka boleh disebut dengan (أبا القاسم) iaitu 'Bapa kepada Qasim' yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad (صلى الله عليه وسلم).

Wednesday, March 18, 2009

KEKAL BERADA DALAM ISLAM SELAMANYA

Setiap mukallaf (walaupun seseorang itu kafir sekalipun) adalah diwajibkan ke atasnya untuk memasuki agama Islam. Dan setiap mukallaf itu hendaklah berpegang teguh dengan agama Islam secara kekal selamanya (tidak sesekali murtad).

Firman Allah Ta'ala:
إنّ الدّينَ عند الله الإسلام
Sesungguhnya Agama (Yang Benar & Diredhai) Di Sisi Allah Ialah Islam
[Surah Ali 'Imran: 19]

Perlu diingatkan juga, hendaklah kita menjauhi diri kita daripada perkara yang boleh mengeluarkan kita daripada Islam (murtad), sama ada pada waktu kini mahupun pada masa akan datang. Oleh itu, sesiapa yang berniat untuk keluar daripada Islam pada suatu masa akan datang, maka dia sebenarnya telah jatuh ke lembah kekufuran pada ketika niatnya itu juga (serta-merta) sebelum tiba masa yg akan datang tersebut. (Wal 'iyazubilLah). Dan hendaklah kembali segera ke dalam Islam dengan mengucapkan Dua Kalimah Syahadah dengan segera. Sesungguhnya, adalah suatu kerugian yang sangat besar di Akhirat kelak jika berada di lembah kekufuran dengan mati di dalamnya kerana tempatnya adalah di Neraka yang diciptakan Allah Ta'ala untuk kekal selamanya. (Wal'iyazubilLah).

Di samping itu, setiap mukallaf hendaklah beriltizam untuk mengerjakan segala perkara yang diwajibkan dengan merujuk kepada hukum-hakam yang telah ditetapkan. Dengan kata lain, kita hendaklah bertaqwa kepada Allah Ta'ala iaitu mengerjakan segala yang diwajibkan ke atas kita dan meninggalkan segala yang dilarang (diharamkan) kepada kita.

Tuesday, March 17, 2009

PENGERTIAN MUKALLAF

Dan Mukallaf ialah seseorang yang mempunyai ciri-ciri seperti:
  • Baligh, (dan)
  • Beraqal, (dan)
  • Telah Sampai Da'wah Islam Kepadanya.
Bagi lelaki, seseorang itu akan mencapai taraf baligh setelah berlaku salah satu daripada perkara berikut:
  • Telah keluar mani (atau)
  • Telah mencapai umur 15 tahun hijriyyah
Bagi perempuan, seseorang itu akan mencapai taraf baligh setelah berlaku salah satu daripada perkara berikut:
  • Telah keluar mani (atau)
  • Telah keluar darah haid (atau)
  • Telah mencapai umur 15 tahun hijriyyah
Oleh itu, orang yang tidak beraqal seperti orang gila, nyanyuk bukanlah mukallaf. Dan orang yg tidak sampai da'wah Islam, maka bukanlah ia daripada mukallaf. Secara realitinya, hampir kesemua manusia di dunia ini telah disampaikan da'wah Islam kepadanya kecuali yang tinggal terlalu terpencil hingga tidak dapat dihubungi dengan dunia luar dan tidak mengerti atau tidak pernah sekalipun mendengar istilah Islam dan azan. Maka, orang yang telah pernah mendengar azan yg terdapat dua kalimah syahadah dan dia memahaminya maka dia termasuk dalam kategori telah sampai da'wah Islam.

DHARURIYYAT AL-I'TIQAD TIDAK HARUS DIJAHILI

'Aqidah yang melibatkan perkara-perkara i'tiqad merupakan ilmu yang paling utama yang wajib dipelajari, diketahui, difahami dan dipegang daripada keseluruhan ilmu fardhu 'ain. Maka, adalah menjadi suatu kewajipan (wajib) bagi setiap mukallaf untuk mengetahuinya. Sesungguhnya, 'aqidah yang benar ialah 'aqidah ahlu sunnah wal jama'ah dan ia dapat menyelamatkan seseorang mukallaf itu daripada terjerumus ke dalam neraka selama-lamanya. Ia adalah ni'mat yang paling besar daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan rahmatNya melalui i'tiqad yang haq yang dipegang, ia dapat menjamin untuk memasuki syurga yang Allah Ta'ala ciptakan untuk kekal selamanya dengan kehendakNya.

Di antara perkara yang paling penting yang perlu dipegang ialah beriman (percaya) kepada Allah Ta'ala dan RasulNya. Sesungguhnya segala amalan kebaikan, kebajikan mahupun 'ibadah tidak akan diterima (tidak sah) oleh Allah Ta'ala jika tidak mengetahui (ma'rifah) dengan beriman kepada Allah Ta'ala.

Sebagaimana kata-kata Imam al-Ghazali:
لاتَصِحُّ الْعِبَادَةُ إِلا بَعْدَ مَعْرِفَةِ الْمَعْبُودِ
Tidak Sah Ibadat Itu Kecuali Setelah Mengetahui (Allah) Yang Disembah

Ketahuilah, syarat diterima segala 'ibadah dan amalan kebaikan ialah dengan i'tiqad yang benar (keimanan) dan bukanlah banyaknya amalan kebaikan & ibadah itu syarat untuk diterima keimanan.

Oleh itu, tanpa i'tiqad yang benar, manusia itu adalah kafir dan akan ditempatkan ke dalam neraka yang Allah telah ciptakan dan kekal di dalamnya selama-lamanya (Wal 'iyazubilLah). Betapalah ruginya kehidupan di dunia ini yang hanya sementara jika di Akhirat kelak ditempatkan di neraka selamanya.

Powered By Blogger