Friday, March 28, 2008

HUJAH AHLUS SUNNAH WAL JAMA'AH

Kelahiran aliran pemikiran dan golongan yang ingin menghidupkan kehidupan sunnah sebenar yang menggelar dirinya sebagai golongan salafussoleh atau 'salafi' telah melanda di Malaysia sejak kebelakangan ini. Keghairahan mencari identiti yang berteraskan Al Qur'an dan As Sunnah (dengan merujuk Hadith Sahih shj) secara langsung tanpa merujuk kepada huraian daripada ulama-ulama salaf terdahulu yang mu'tabar telah menyingkapkan kejahilan mereka dengan menyalahkan golongan majoriti Ahlus sunnah wal Jama'ah melalui hadith sahih:

Setiap Bid'ah Adalah Dhalalah (Sesat) Dan Setiap Yang Sesat Berada Di Dalam Neraka
[Sanadnya sahih; Riwayat Abu Daud di bawah tajuk: As Sunnah (4607)]

Jika mengambil makna hadith tersebut tanpa melihat huraian syarah ulama secara halus dan terperinci, seolah-olah ia memberi erti bahawa setiap perbuatan baru adalah sesat. Dalam erti kata lain, boleh dimaksudkan bahawa setiap perbuatan yang tidak dilakukan oleh Nabi dan jika dilakukan maka ia adalah suatu perbuatan yang sesat.

Jika dirujuk kepada kitab Sahih Muslim Bisyarh an Nawawi (16/226, 227) yang dimaksudkan dengan hadith ini ialah perkara-perkara baru yang batil, dan bid'ah-bid'ah yang tercela. Oleh itu, 'dhalal' (sesat) hanya melibatkan perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi yang tercela sahaja (perkara yang bersalahan dengan hukum syara' sahaja). Maka, apalah salahnya membaca Yaasin pada malam Jumaat yang telah diamalkan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi tanpa ada pertikaian.

Dengan menghukum dan menentang amalan membaca Yaasin pada malam jumaat, talqin, do'a qunut....yang seharusnya tidak perlu dibahas dan didebatkan adalah antara ciri-ciri golongan ini.


Walaubagaimanapun, terdapat perkara yang seharusnya kita ketahui dan fahami bahawa aliran golongan ini bukan sahaja mengetengahkan soal-soal furu' semata-mata tetapi juga soal-soal yang berkaitan usul (aqidah). Dalam meneliti penyelewengan golongan ini yang mudah dikenali sebagai 'wahabi' ini, adalah menjadi kewajipan kita dengan mengawasi agar ianya tidak dipegang oleh keluarga mahupun anak kita sendiri.


Sejarah telah menjelaskan akan betapa rakusnya golongan ini yang dipelopori oleh Muhammad bin Abdul Wahab yang telah memecahbelahkan umat Islam sejak 200 tahun dahulu. Dan senarai penyelewengan golongan ini bolehlah dirujuki di Darulfatwa Australia.

Semoga Allah Senantiasa Membimbing Kita Ke Jalan Yg Lurus Dengan 'Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah Yg Sebenar. Amiin.

Powered By Blogger